Mar 14, 2011

TAKAFUL IKHLAS BELANJA RM 20 RIBU UNTUK PROGRAM WARGA TUA SRI TANJUNG

KUANG (SELANGOR), 23 Feb (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd membelanjakan sekurang-kurangnya RM20,000 untuk menjayakan Program Warga Tua Sri Tanjung, iaitu program berlandaskan tanggungjawab sosial syarikat tersebut bersama warga emas.

Raihan Rahim, Naib Presiden Komunikasi Korporat Takaful Ikhlas berkata perbelanjaan tersebut meliputi kos pemeriksaan kesihatan dan pembelian barangan keperluan.

Menurut Raihan, tujuan program ini diadakan adalah untuk menyemai sifat penyayang antara golongan belia dan warga tua agar mereka terasa dihargai dan diperlukan di kalangan masyarakat.

"Melalui program ini, warga emas di rumah kebajikan tersebut akan menjalani sesi pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan KL HeartCare dan ditanggung sepenuhnya oleh Takaful Ikhlas," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Abdul Shukur M.Zain, Pengarah Pembangunan Perniagaan KL HeartCare berkata antara pemeriksaan kesihatan yang diberikan merangkumi pemeriksaan ujian lengkap darah dan fizikal.

Laporan kesihatan ini akan diberikan kepada pihak pengurusan dan KL HeartCare akan menyarankan doktor yang bersesuaian, menurutnya.

Azizah Ismail, Pengasas Rumah Penjagaan Warga Tua Sri Tanjung berkata ia ditubuhkan sejak tahun 1999 dan kini mempunyai 27 orang penghuni, iaitu tiga lelaki dan 24 wanita berumur dalam lingkungan 60 hingga 100 tahun.

-- BERNAMA












 

No comments:

Post a Comment